PKP: JAIS keluar ketetapan baharu jumlah jemaah di masjid, surau

JAIS membuat penetapan semula jumlah bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau seluruh negeri ini. - Gambar hiasan
JAIS membuat penetapan semula jumlah bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau seluruh negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat penjadualan semula jumlah bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, menerusi pelaksanaan itu, seramai 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri); Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan masjid pengurusan terdiri daripada 23 pentadbir dan 27 jemaah.

Beliau berkata, bagi masjid institusi dan masjid kariah pula, seramai 23 jemaah terdiri daripada pentadbir sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu lima waktu secara berjemaah.

"Bagi surau solat Jumaat, dihadkan kepada 16 jemaah terdiri daripada pentadbir sahaja dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu.

"Surau kariah pula hanya dibenarkan untuk menunaikan fardu dengan jumlah 16 jemaah terdiri daripada pentadbir," katanya menerusi satu surat kepada semua pentadbir masjid dan surau di negeri ini pada Selasa.

Menerusi ketetapan dibuat JAIS pada awal bulan lalu, bilangan jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dihadkan kepada 500 orang jemaah termasuk pentadbir, manakala solat fardu hanya 200 jemaah dan solat tarawih hanya 500 jemaah muslimin serta 100 muslimat termasuk pentadbir.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, menerusi ketetapan baharu ini, aktiviti kuliah dan tazkirah secara bersemuka hanya boleh dilaksanakan di masjid-masjid yang dibenarkan dengan ketetapan jemaah solat Jumaat atau solat fardu seramai 50 orang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad

"Penceramah jemputan boleh dijemput dengan syarat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

"Kuliah dan tazkirah dalam talian melalui Facebook Live juga boleh dilaksanakan bahkan sangat digalakkan di semua masjid dan surau seluruh Selangor agar program ilmu dan tarbiyah terus diimarahkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, pengurusan solat jenazah bukan pesakit Covid-19 turut dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah atau kaum keluarga terdekat tidak melebihi 25 orang.

Tambahnya, pentadbir masjid dan surau hendaklah terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"JAIS amat mengharapkan agar semua pentadbir masjid dan surau terus bersabar menghadapi situasi getir ini serta sentiasa mendokong usaha pihak jabatan dalam melaksanakan ketetapan-ketetapan dari Ulil Amri yang kerap berubah disebabkan situasi semasa yang berlaku," katanya.