'Lantik orang asli sebagai Ketua Pengarah Jakoa'

Ramli Mohd Nor
Ramli Mohd Nor
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disaran agar bersikap adil dan saksama dalam pelantikan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan melantik mereka yang berkelayakkan dalam kalangan orang asli sendiri.

Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor berkata, ia berikutan wujud dakwaan ada gerakan oleh pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut diberikan kepada seseorang daripada kaum lain.

Menurutnya, jawatan itu pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh seorang rakyat berketurunan orang asli Semenanjung yang berkelayakan sebagaimana diperuntukkan di bawah perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan orang asli di Parlimen yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun merdeka, saya mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan 'Little Napolean' birokrasi kerajaan dalam kementerian berkenaan sekiranya dakwaan itu berlaku.

"Mereka tidak seharusnya berpolitik sebaliknya perlu lebih menumpukan kepada tugas hakiki sebagai penjawat awam dengan melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan mencapai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat orang asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ramli berkata,jawatan Ketua Pengarah Pengarah Jakoa ketika ini kosong setelah penyandangnya, Profesor Dr Juli Edo menamatkan kontraknya pada April lepas dan menggesa pengantinya juga dilantik dalam kalangan orang asli.

"Pada masa sama, saya juga menyarankan kerajaan PN bersikap lebih perihatin terutama dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat orang asli yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh dalam perlaksanaannya.

"Isu-isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pewartaan tanah orang asli atau tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat orang asli yang masih ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Jakoa juga perlu diperkukuhkan dalam penstrukturan organasasinya agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat.

"Sebagai wakil rakyat Cameron Highlands, saya menyarankan agar parlimen dipanggil bersidang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat atau secara dalam talian agar isu berkepentingan dapat dibahas secara telus dan wujud semak imbang terhadap sebarang keputusan dasar kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat," katanya.