X

Kindly register in order to view this article
!

Guling Tun M: Gimik politik alihkan isu melanda Pas

A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Pas kemungkinan wujud dua parti komponen PH merancang untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen hanya gimik politik.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, ia bagi mengalihkan isu yang melanda Pas ketika ini terutama dalam kes dana RM90 juta dan hubungan Pas dengan UMNO di Semenyih.

"Pada pandangan saya, isu yang dibangkitkan tak lebih daripada gimik politik untuk alihkan pandangan masyarakat terhadap Pas yang kini dikritik berterusan.

"Kalau kita lihat dakwaan Dr Mahathir mengenai Pas tidak sokong calon UMNO di Semenyih, pelbagai pihak dalam parti itu keluarkan kenyataan menafikan ia tidak seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri itu. Isu tersebut reda apabila wujud dakwaan singkirkan Dr Mahathir oleh rakan PH," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam satu sidang media semalam, Takiyuddin mendakwa dua parti komponen PH mungkin merancang untuk menyingkiran Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Menurutnya, parti itu merasakan ada perkara tidak kena apabila Perdana Menteri bercakap tentang rakan parti dalam PH sebelum ini.

Jelasnya, Pas berikrar memberi sokongan kepada beliau dalam pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu.

Mengulas perkara tersebut, Ahmad Marthada berkata, soal undi tidak percaya kepada seorang Perdana Menteri bukan isu kecil dan ia perlu dibuat dalam satu perbicangan sulit.

"Setakat hari ini tidak kedengaran tentang perbicangan itu dan jika benar ia berlaku, ia satu kerugian besar kepada parti-parti PH.

"Ahli politik di Sabah dan Sarawak kini menyokong Dr Mahathir. Begitu juga dengan Ahli Parlimen di Semenanjung dan Sabah yang menyertai Bersatu. Ia bukan perkara mudah untuk dilakukan terhadap Dr Mahahir," katanya.

Ditanya tentang kehadiran pemimpin PH seperti DAP, Amanah dan PKR dalam kempen PRK Semenyih menggambarkan wujud konflik yang berlaku, beliau berkata, ia masih terlalu awa untuk disimpulkan.

"Trend PRK ini kita perlu tahu, biasanya di awal kempen ini calon-calon lebih menonjol dengan sesi perkenalan, program bersama calon dan ceramah kelompok oleh calon. Pimpinan utama ini akan hadir beberapa hari mengundi berlaku.

"Kalau kita lihat BN pun begitu, sekarang ini mereka tidak agresif. Ini kerana dalam tempoh awal ini, pengundi belum membuat keputusan untuk memberikan undi kepada parti mana tetapi keputusan itu akan dibuat dekat dengan hari mengundi. Masa ini, pemimpin utama parti akan mainkan peranan mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus