Tatap wajah anak tiga jam sebelum meninggal dunia

Dua orang anak perempuan Kinloch sempat merakam kenangan bersama bayi bernama Ariya (gambar kecil) yang sempat bersama ayahnya buat kali terakhir. - Foto Nicola Kinloch
A
A

BEDFORDSHIRE - UNITED KINGDOM. Seorang ayah sempat menatap wajah anak perempuannya yang baharu dilahirkan tiga jam sebelum lelaki itu meninggal dunia di hospital akibat kanser otak.

Brett Kinloch,31, yang menghembuskan nafas terakhir pada 11 Februari lalu, berpeluang bersama anaknya setelah isterinya dibenarkan keluar dari hospital hanya 50 minit selepas melahirkan bayi tersebut.

Kakitangan Hospital Luton dan Dunstable dilapor berusaha sedaya upaya memudahkan isteri Kinloch, Nicola untuk segera menemui suaminya yang berada di sebuah hospital lain.

"Suami saya menunggu bayi perempuan kami sebelum pergi buat selamanya," kata Nicola yang sempat meletakkan bayi yang dinamakan Ariya itu di pelukan ayahnya untuk kali terakhir.

Menurut Nicola, walaupun anak ketiga mereka itu tidak akan mempunyai kenangan bersama ayahnya ketika membesar, namun dua lagi anaknya masing-masing berusia empat tahun dan 18 bulan sempat merakam detik indah bersama ayah mereka.

Dalam pada itu, Kinloch yang disahkan menghidap kanser otak pada 2015 bersikap positif selama menjalani rawatan penyakitnya itu. - BBC