Covid-19: Kerajaan perlu libatkan pembangkang dalam MKN

Howard Lee Chuan How. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Howard Lee Chuan How. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu melibatkan pembangkang dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pembuatan dasar Covid-19.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Howard Lee Chuan How berkata, ini kerana ada dasar yang dibuat oleh MKN kadangkala karut, tidak masuk akal dan membuat pusingan U.

“Alangkah baiknya sekiranya boleh libatkan sebelah pembangkang juga dalam MKN. Alangkah baiknya boleh libatkan semua ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk melaksanakan dan menguar-uarkan dasar kerajaan serta proses pembuatan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-257 bertajuk ‘PKP Tiada Noktah: Talian Hayat PN Makin Kabur?’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

ADUN Pasir Pinji itu menambah, pihak pembangkang juga mahu dan tidak berhenti menyumbang bagi mencegah Covid-19.

“Tetapi dalam proses yang begitu penting dalam pembuatan dasar kami tidak dilibatkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik tindakan kerajaan yang tidak membenarkan Pulau Pinang menerima dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma pada Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sarawak diizinkan untuk mengambil 500,000 dos vaksin. Pulau Pinang pula bukan nak minta beli, bukan nak guna duit rakyat tetapi ada orang mahu menyumbang dua juta dos vaksin tidak diizinkan pula.

“Ada orang nak bagi tapi kerajaan tidak izinkan. Inilah politik yang dihidangkan oleh kerajaan. Ini bukan remeh, dua juta dos vaksin boleh membantu begitu ramai orang dan inilah politik yang dihidangkan,” katanya.