Budak dijangkiti virus HIV melalui pemindahan darah

Seorang budak perempuan di Tamil Nadu dijangkiti HIV positif melalui pemindahan darah di hospital kerajaan.
A
A

CHENNAI - INDIA. Seorang budak perempuan berusia dua tahun di negeri Tamil Nadu disahkan menghidap HIV positif, selepas menjalani pemindahan darah di sebuah hospital kerajaan.

Bapa kanak-kanak terbabit berkata, anaknya dimasukkan ke hospital itu pada Julai lalu selepas mengalami masalah jantung.

"Bila anak saya mengalami komplikasi, dia sekali lagi dimasukkan ke hospital sama bulan ini.

"Namun, semasa pemeriksaan pihak hospital mendapati anak saya dijangkiti HIV.

"Saya tidak pernah mendapatkan rawatan lain selain di hospital ini," katanya.

Sementara itu pengarah hospital, Ashokan menafikan tuduhan bapa kanak-kanak terbabit dan mendakwa mangsa mungkin dijangkiti virus terbabit di hospital lain.

"Kami telah meneliti rekod perubatannya dan tiada masalah.

"Doktor mengesan kanak-kanak itu dijangkiti HIV pada 6 Februari lalu," katanya.

Pada Disember lalu, timbul keraguan mengenai tabung darah di negeri itu selepas seorang wanita hamil dijangkiti virus HIV di sebuah hospital kerajaan di daerah Siattur.

Wanita terbabit kemudian melahirkan bayi dan keadaannya dipantau pihak berkuasa kesihatan di Madurai.

Dia juga telah ditawarkan pekerjaan di sektor kerajaan. - Agensi