Dua syor sebelum ketatkan PKP

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Dr Yahya, Dr Dzulkefly
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Dr Yahya, Dr Dzulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa bertindak segera meningkatkan kadar ujian serta pemberian vaksinasi Covid-19 sebelum melaksanakan cadangan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dan lebih ketat di Selangor.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain vaksin, KKM dan Jawatankuasa Khas Penyediaan Vaksin Covid-19 (JKJAV) juga harus memperkasakan model FTTIS (Cari, Uji, Jejak, Isolasi dan Sokongan) sebelum melaksanakan total lockdown di Selangor.

“Kita bukan pemerintah. Kerajaan negeri (Selangor) tak ada hak (laksanakan PKP penuh), kita serah keputusan itu kepada kerajaan pusat.

“Jadi KKM perlu memikirkan apakah langkah susulan konkrit selepas itu berbanding sekadar mengumumkan angka atau kluster semata-mata. Kena jalankan penyaringan masyarakat besar-besaran, pengesanan kontak secara automatik serta melaksanakan pengasingan dengan kadar segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Isnin untuk menguatkuasakan PKP secara penuh dan lebih ketat di Selangor sekiranya negeri itu gagal mengekang penularan Covid-19.

Dr Dzulkefly yang juga Ketua Pasukan Petugas Menangani Covid-19 Selangor berkata, pihaknya amat bimbang apabila program vaksinasi di Selangor sangat lembab berdasarkan data diperoleh apabila sekadar mengimunisasi 3.6 peratus daripada populasi semasa dengan satu dos vaksin Covid-19 yang mana kadar itu sembilan kali lebih perlahan berbanding Singapura iaitu 32.5 peratus.

Jumlah itu, jelas beliau, juga terlalu jauh jika dibandingkan dengan jangkauan 126,000 dos sehari yang dinyatakan Dr Adham pada 13 Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Perbandingan nisbah seorang daripada 42 rakyat Selangor dijangkiti Covid-19 disifatkan Dzulkefly sebagai kurang tepat.
Perbandingan nisbah seorang daripada 42 rakyat Selangor dijangkiti Covid-19 disifatkan Dzulkefly sebagai kurang tepat.

“Katalah hendak buat PKP penuh selama dua minggu tapi kes belum turun, lepas itu nak buat apa? Ini bukan perkara baharu, sudah lebih setahun kita berdepan pandemik Covid-19.

“Kesan PKP kepada rakyat juga jangan diabaikan supaya menepati ciri-ciri sokongan dalam model FTTIS, jadi apa lagi yang boleh kerajaan bantu rakyat jika PKP penuh hendak dilaksanakan semula,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menyifatkan kadar nisbah 1:42 jangkitan Covid-19 di Selangor yang tular di media sosial ketika ini sebagai perbandingan yang kurang adil dan tidak tepat.

“Ini bukan macam main bola. Mana boleh keluarkan statistik jika populasi penduduk berbeza. Jika ia berdasarkan jumlah sama 100,000 penduduk di negeri berbeza misalannya, barulah lain cerita.

“Tahap keparahan berbeza untuk dijadikan perbandingan mengikut kajian epidemiologi. Epal hanya boleh dibandingkan dengan epal, bukannya durian, jadi ini bukan perbandingan yang sahih.

“Adakah statistik ini hanya sekadar untuk memburukkan kerajaan Selangor? Entahlah saya tidak tahu, cuma janganlah buat rakyat panik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, PKP penuh wajar dilaksanakan sekurang-kurangnya selama dua bulan sehingga Julai depan bagi memastikan kadar kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di Malaysia kembali mendatar.

“Namun, ia haruslah dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi penutupan sektor perkilangan dan pembinaan yang merupakan kluster terbesar setakat ini. Jika tidak, ia tidak akan memberikan kesan efektif walaupun PKP dilaksanakan dalam tempoh yang lebih lama,” jelasnya.