X

Kindly register in order to view this article
!

AFC puji langkah proaktif FAM

Windsor
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat tindakan proaktif dengan menghantar surat kepada kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meminta penyelesaian yang adil selepas tindakan Korea Utara menarik diri daripada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, ia satu langkah tepat dilakukan FAM apabila membuat rayuan mengenai keputusan mekanisme yang akan diguna pakai oleh FIFA dalam kes itu nanti.

"Bagi saya, FAM bertindak proaktif dengan menulis surat rayuan kepada FIFA untuk mereka mengambil kira segala aspek sebelum membuat keputusan mekanisme yang akan digunakan. Buat masa ini, kita tidak tahu apa mekanisme yang akan digunakan.

"Sebagai makluman, surat itu ditulis kepada FIFA dan salinan dihantar kepada kami (AFC) sebabnya ia adalah perlawanan kelayakan Piala Dunia, jadi peraturan digunakan adalah peraturan FIFA.

"Buat masa ini, kita perlu tunggu jawatankuasa yang terlibat untuk meneliti data dan laporan yang ada sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, AFC mengesahkan Korea Utara menarik diri daripada meneruskan baki kempen kelayakan tersebut dan kes itu telah dirujuk kepada Jawatankuasa Penganjur FIFA sebelum sebarang keputusan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, FAM menyerahkan kepada AFC untuk membuat keputusan terbaik mengenai tindakan Korea Utara yang mahu menarik diri daripada menamatkan baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ekoran krisis ketidaktentuan pandemik Covid-19.

Kebimbangan itu tercetus sekiranya Korea Utara disahkan menarik diri, semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan berkemungkinan besar tidak akan dikira.

Jika ia benar berlaku, berdasarkan kedudukan semasa dalam Kumpulan G, dua kemenangan ke atas Indonesia tidak dikira, namun Malaysia masih berpeluang mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke Pusingan Ketiga Piala Dunia 2022 melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

Pada masa sama, Widsor Paul turut memberitahu, hanya FAM satu-satunya badan induk bola sepak di Asia yang telah menghantar surat rayuan tersebut kepada FIFA.

"Setakat ini apa yang kami tahu hanya FAM yang menghantar surat rayuan berdasarkan salinan yang telah turut dihantar kepada kami," jelasnya yang percaya FIFA akan membuat keputusan berlandaskan semangat fair play.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!