Harimau Malaya jelma taring berbisa

Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.
Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya memiliki kekuatan tersendiri dalam mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria berkata, gabungan pemain tempatan, naturalisasi dan kacukan yang berada dalam senarai skuad kebangsaan kali ini mampu membawa cabaran berbeza kepada pasukan lawan yang bakal dihadapi nanti.

“Saya lihat pasukan kali ini memiliki kekuatan terutama dengan gabungan pemain tempatan, naturalisasi dan kacukan. Mereka ini memberikan keseimbangan kepada pasukan di semua posisi selain pengalaman, kemampuan individu dan fizikal yang ada.

“Saya percaya dengan barisan pemain yang ada ini, skuad kebangsaan mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan apatah lagi kita berdepan dengan pasukan kuat seperti UAE, Vietnam dan Thailand.

“Malah, saya juga melihat kita mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya jika mampu memberikan aksi luar biasa dan konsisten dengan gandingan pemain yang ada ini.

“Sekarang terpulang kepada coach Tan (Cheng Hoe) melalui kepakarannya untuk membentuk gandingan terbaik daripada barisan pemain yang dipilih bagi menghadapi tugasan di UAE nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Junior Eldstal memperlihatkan Harimau Malaya memiliki kekuatan tambahan untuk menghadapi UAE, Vietnam dan Thailand.

Ditambah dengan impak yang dibawa Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Corbin Ong dan Matthew Davies, peminat bola sepak tempatan menjangkakan Harimau Malaya mampu menghadirkan kejutan di UAE nanti.

Artikel Berkaitan:

Namun, Ismail turut melahirkan kebimbangan dalam membentuk keserasian antara pemain susulan kurang aksi persahabatan dilalui Harimau Malaya yang hanya bakal berdepan Kuwait dan Bahrain sebelum mereka menghadapi tugasan di UAE.

“Kita faham dalam keadaan Covid-19 ini memang sukar untuk mencari perlawanan persahabatan selain mereka juga sudah lama tidak beraksi bersama. Dari segi keserasian pemain sedikit sebanyak merisaukan.

“Dalam masa terdekat, saya harap coach Tan mampu buat sesuatu untuk membentuk keserasian mereka kerana kita tahu perlawanan di peringkat antarabangsa ini berbeza dengan tempo yang jauh lebih tinggi daripada bermain dalam saingan liga.

“Kebimbangan saya juga terhadap kecederaan pemain. Saya harap pemain utama tidak mengalami kecederaan sebab memang sukar untuk mencari pengganti pada waktu sekarang,” ujarnya.