Kuarantin wajib 14 hari bagi individu masuk ke Sabah

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menguatkuasakan arahan kuarantin wajib 14 hari ke atas individu yang masuk ke negeri itu berkuat kuasa Khamis ini (20 Mei) dalam usaha mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata individu yang berasal dari Sabah, penduduk tetap dan pemegang Pas Kerja yang bermastautin di negeri itu dibenar menjalani arahan kuarantin di rumah masing-masing.

Katanya, individu yang bukan berasal dari Sabah pula dikehendaki menjalani arahan kuarantin itu di hotel yang ditetapkan sebagai pusat kuarantin iaitu 16 hotel di Kota Kinabalu dan satu di Tawau atas biaya sendiri.

"Pengambilan ujian (saringan Covid-19) PCR (Polymerase Chain Reaction) dengan keputusan negatif adalah diwajibkan bagi setiap individu yang ingin masuk ke negeri Sabah seperti sebelum ini.

"Kemasukan ke negeri Sabah bagi pegawai-pegawai kerajaan adalah dibenarkan tertakluk kepada pegawai yang mempunyai surat rasmi bertugas di negeri Sabah," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata kerajaan negeri juga membenarkan kemasukan pelabur asing bagi tujuan melabur di negeri ini, bagaimanapun mereka perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kemasukan daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesan dua kes penularan Covid-19, kedua-duanya melibatkan individu dari Labuan yang pulang untuk meraikan Aidilfitri di Tawau.

Beliau berkata kes pertama melibatkan pasangan suami isteri yang pulang ke Ladang Abaka, Tawau pada 7 Mei, dan mereka disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes kedua, individu terlibat pulang ke Kampung Sungai Imam, Tawau pada 8 Mei sebelum disahkan positif pada 16 Mei dan turut menziarah keluarganya di Taman Barkeley, Tawau seterusnya menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarganya.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri pada hari ini memutuskan untuk mengetatkan SOP (prosedur operasi standard) kemasukan ke Sabah," katanya.

Masidi berkata JKNS merekodkan 95 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif

sebanyak 59,504 kes. - Bernama