‘Sukar untuk turunkan angka kes Covid-19’

Adlina Suleiman. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Adlina Suleiman. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Pakar kesihatan berpendapat agak sukar untuk menurunkan angka kes Covid-19 yang berlaku di negara ini selepas kini ia mencapai empat digit.

Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman berkata, ini disebabkan masih lagi ramai yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Cara untuk menangani sekarang ini ialah kita kena tumpukan kepada vaksinasi besar-besaran. Sebabnya ialah bila Covid-19 ini sudah berada dalam komuniti, memang agak sukar sedikit untuk kita mengawal.

“Kalau kita teruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang akan menurun tetapi tidak secepat jika kita membuat lonjakan vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-257 bertajuk ‘PKP Tiada Noktah: Talian Hayat PN Makin Kabur?’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Howard Lee Chuan How manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Adlina menambah, apabila vaksin tiba, kerajaan perlu membuat lonjakan vaksinasi kepada orang ramai.

“Ini adalah suatu perkara yang dilakukan di Britain di mana mereka telah mencapai 30.2 peratus vaksinasi dan mereka dapati kes menurun di bawah 1,000 minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

“Tapi minggu ini naik balik sebab varian India. Jadi apa yang mereka lakukan ialah mereka lakukan lonjakan vaksinasi.

“Saya nak bagi tahu kalau orang yang masih lagi tidak percaya vaksin, di Britain ini bilangan kematian pada 15 Januari ialah 1,820 tetapi selepas 30.2 peratus divaksinasi, kematian hanya lima orang pada 17 Mei. Hanya lima kematian daripada 1,820,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh lain seperti negara Emiriah Arab Bersatu apabila 39.3 peratus orang telah divaksinasi.

“19 Kematian pada 24 Februari dan pada 17 Mei hanya dua kematian. Vaksin ini berkesan,” tegasnya.