Pasangan suami isteri guna kotak kopi edar dadah ditahan

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Taktik sepasang suami isteri menyembunyikan dadah di dalam kotak serbuk kopi pracampuran gagal apabila polis menahan mereka di belakang bangunan Pejabat Pos, di sini petang Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, anggota polis yang memerhatikan gerak-geri mencurigakan pasangan itu yang kedua-duanya berumur 32 tahun, bertindak memberkas mereka kira-kira 6.54 petang.

Beliau berkata, polis menemukan beberapa ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira dua kilogram di dalam kotak serbuk kopi berjenama itu.

“Dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM151,236 dan pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (kerana mengedar dadah),” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sini memperoleh maklumat awal berhubung pergerakan pasangan itu dari Bukit Aman di Kuala Lumpur sebelum sepasukan anggota digerakkan ke kawasan pasangan berkenaan cuba mengedar dadah sebelum membuat serbuan.

“Setakat ini tiada pengakuan daripada pasangan suami isteri tersebut ke atas barang kes yang dirampas itu dan mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Sungai Merah Sibu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi. - Bernama

Artikel Berkaitan: