Perak rekod tiga kluster baharu berturut-turut

Laporan terkini kluster Covid-19 di Perak.
Laporan terkini kluster Covid-19 di Perak.
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan tiga kluster baharu kes positif Covid-19 dalam tempoh tiga hari berturut-turut sejak Ahad lepas.

Tiga kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Abdul Hamid dalam daerah Kinta yang direkodkan pada 16 Mei lalu dengan jumlah kes 19 orang positif Covid-19 diikuti Kluster Jalan Kuak Luar di Hulu Perak (22 kes) dan terbaharu Kluster Seri Sutra (16 kes).

Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerusi Facebook rasminya memaklumkan, Kluster Seri Sutra dalam daerah Kinta itu melibatkan sebuah majlis sosial yang diadakan antara 7 hingga 9 Mei lalu.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster terbabit merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun dari Seri Sutra B3, Bandar Seri Botani, Ipoh yang dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Mei lalu hasil saringan kontak rapat.

"Seramai 45 individu telah menjalani saringan kontak rapat dan status terkini menunjukkan sebanyak 16 kes positif direkodkan dengan tiga kes baharu," katanya sepertimana dilaporkan.

Kes indeks bagi Kluster Jalan Kuak Luar adalah hasil saringan individu bergejala melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Mei lalu.

Setakat ini, sebanyak 33 kes positif telah direkodkan dengan enam kes terbaharu.

Kluster Jalan Abdul Hamid pula dikesan selepas seorang wanita tempatan berusia 47 tahun positif Covid-19 pada 11 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kes awal yang direkodkan adalah 19 kes dan jumlah itu meningkat kepada 21 kes hari ini.

Perkembangan itu menjadikan Perak merekodkan 160 kes baharu setakat Selasa dengan 153 daripadanya merupakan jangkitan tempatan dan tujuh kes jangkitan dari luar negeri.

Daerah Kinta tertinggi dengan 63 kes kebanyakannya jangkitan tempatan daripada kluster sedia ada.

Lain-lain daerah Larut Matang Selama (45 kes), Kuala Kangsar (27 kes), Hulu Perak (9 kes), Hilir Perak (8 kes), Manjung (6 kes), Kerian dan Muallim masing-masing satu kes.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu bahawa Perak mencacat kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 tertinggi iaitu pada 1.32 Ro (R naught) merujuk kepada kebolehjangkitan virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti Covid-19 yang dibawa oleh kes dalam wabak itu.