Tunggakan cukai RM9.41 juta LHDN tidak beretika: Shafee

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan hebahan writ saman berhubung tuntutan tunggakan cukai RM9.41 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai tidak beretika.

Ini kerana katanya, saman berkenaan belum diserahkan kepada beliau namun sudah dihebahkan menerusi media secara meluas.

Beliau juga percaya, tindakan LHDN tidak lebih kepada bersifat politik.

"Kita belum terima, saya tak faham, bagaimana LHDN keluarkannya, sedangkan mereka belum serah kepada saya.

"Ya, mereka mungkin dah fail, tetapi saya belum terima," katanya selepas prosiding kes pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan dana SRC International, berjumlah RM42 juta membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.

Pada 6 Mei lalu, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan writ saman terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: LHDN saman Shafee tuntut bayaran tunggakan cukai RM9.41 juta

Kerajaan selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Muhammad Shafee merupakan peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut mempersoal langkah diam diri pihak berkuasa berhubung suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Sehingga kini katanya, tiada tindakan diambil berhubung permohonan mengeluarkan perintah untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB daripada pihak berkenaan.

"Kita sudah fail, tapi saya tidak faham kenapa kerajaan mahu menutup 'pekung’ Tan Sri Zeti dan keluarganya.

"Kalau mereka ada kaitan dengan skandal kes 1MDB atau SRC, kerajaan patut dedahkan,” katanya.