Penggali kubur sanggup ikat perut beli lembu

MOhd Rosli memberi makanan kepada lembu di ladang ternakannya.
A
A

MINAT dalam bidang ternakan mengubah kehidupan seorang penggali kubur apabila menjadi penternak berjaya.

Mohd Rosli Selamat, 50 dari Kampung Teluk Menegun berkata, dia sanggup mengikat perut dan berjimat cermat demi mengumpul wang sebagai modal.

Menurutnya, idea menternak lembu jantan timbul apabila ternakan itu mendapat permintaan pada Hari Raya Korban.

“Jadi duit simpanan saya guna untuk beli lembu. Pada permulaan saya mampu beli enam ekor lembu.

“Ternakan bertambah hasil modal dua lagi adik-beradik saya. Aidiladha tahun lalu, kami mampu menjual 25 ekor lembu.

“Hasil jualan itu, kami dapat tambah ternakan yang kini ada 40 ekor bagi bekalan Aidiladha nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia hanya menternak lembu jantan baka KK Lady dan Barman Cross kerana banyak permintaan berbanding baka kacukan.

Selain itu katanya harganya lebih murah antara RM3,000 hingga RM4,500.

Tambah Mohd Rosli, dia tidak pernah mengikuti kursus penternakan sebaliknya menggunakan pengalaman yang diajar bapanya.

“Saya banyak belajar dari ayah yang sebelum ini pernah menternak lembu.

"Saya memang pentingkan kebersihan kandang bagi mencegah penyakit yang boleh menyebabkan kematian. Setiap hari saya akan pastikan kandang dibersihkan dan najis dibuang ke tempat sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, selain memberi palet berharga RM34 untuk 50kg, dia turut mempelbagaikan jenis makanan termasuk rumput.

Rosli memberitahu, ternakan itu akan lebih gemuk jika makanan dipelbagaikan kerana sifat semula jadi haiwan itu yang mudah muak jika hanya diberi sejenis makanan.

“Diet lembu antara paling penting bagi menjamin kesihatannya. Seronok bila tengok lembu sihat dan membesar,” katanya.

Mohd Rosli berkata, seperti penternak lain, dia juga mengimpikan ada ladang ternakan lebih besar.

“Sekarang saya sewa tanah RM200 sebulan. Memang ikutkan saya nak perbesarkan lagi penternakan ini tapi modal belum cukup.

“Insya-ALLAH, mungkin suatu hari nanti sebab pelaburan untuk penternakan ini memang tak merugikan, sebaliknya menjana pendapatan kerana selalu mendapat permintaan ramai,” katanya.