X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Langgar SOP punca jangkitan pantas Covid-19 di Terengganu

A
A

KUALA TERENGGANU – Tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 di Terengganu berlaku sangat pantas dengan dua hari berturut-turut kes harian di negeri ini dilaporkan tiga digit.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pelanggaran SOP itu bukan perkara mengejutkan kerana perlakuan rakyat negeri ini sendiri memberi ruang dan peluang kepada Covid-19 merebak di sini.

“Esok mungkin tiga digit lagi. Seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini,” katanya menerusi hantaran terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.

Melalui hantaran itu, beliau turut berkongsi kisah bagaimana lima kluster negeri ini tercetus ekoran kegagalan orang ramai mematuhi SOP.

Antara pelanggaran SOP itu katanya, adalah aktiviti melepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu telah menyebabkan 17 individu melibatkan rakan lepak dan ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dengan 162 kontak rapat dikesan.

Menurut Dr Nor Azimi, penganjuran majlis berbuka puasa melibatkan 20 individu juga telah mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun dengan 78 orang disahkan positif Covid-19 dan 496 kontak rapat dikesan.

“Merebak pula ke Kuala Terengganu bila kes tadi ada diskusi dan moreh di kedai makan, akhirnya dua kawan dikesan positif.

“Masak ramai-ramai buat majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang, macam-macam aktiviti dibuat sebelum raya, sukaan (gembira) sungguh semua orang. Akhirnya 26 disahkan positif, seramai 283 orang kontak rapat dikesan.

“Pergi mesyuarat di Kuala Lumpur, tidak buat penilaian risiko dan masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin masyarakat dari semua peringkat termasuk ketua jabatan memastikan rakyat serta anggota seliaan masing-masing sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Tangguhkan semua majlis perkumpulan, semua kena duduk rumah. Tiada guna peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kalau masih ada yang bersuka ria,” katanya.

Sebagai rekod, Terengganu hari ini mencatatkan 156 kes baharu Covid-19 menjadikan 1,091 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,941 kes.

Sebanyak 1,077 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 14 kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terengganu turut merekodkan tambahan tiga kluster baharu iaitu Kluster Gong Badak, Kluster Banggol dan Kluster Jambu Bongkok.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!