Peniaga terjejas, pelanggan tak ramai

Keadaan kedai lengang meresahkan peniaga
A
A

TEMERLOH - Peniaga di Kerdau mengeluh kerana pelanggan semakin berkurang setiap hari dan mendakwa harga barangan kini semakin meningkat.

Beberapa peniaga di dereten kedai bersebelahan stesen minyak yang ditemui mendakwa perniagaan mereka merosot sejak beberapa bulan lalu.

Peniaga roti canai, Romainor Wahab, 61, memberitahu kawasan perniagaan itu kini sudah tidak ramai pelanggan berbanding beberapa tahun dahulu.

"Sekarang tak macam dulu, memang ketara sangat kedatangan pelanggan semakin hari semakin merosot," katanya.

Pesara tentera itu juga mendakwa sejak enam bulan lalu perniagaannya terjejas dengan kekurangan lebih 50 peratus kehadiran pelanggan selain semakin tertekan dengan kenaikan harga bahan mentah.

"Penduduk di sini yang rata-ratanya penoreh getah tiada duit. Mereka terpaksa berkira untuk makan di luar, kalau dulu sehari paling kurang 10 kilogram (kg) tepung habis tetapi sekarang 4kg pun tidak habis.

Romainor (iri), Siti Hanisah
Romainor (iri), Siti Hanisah

Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik kerana ada pencen yang dapat menampung kos perbelanjaan keluarga.

"Ramai rakan-rakan saya yang hanya mengharapkan perniagaan sekarang mengeluh,"katanya.

Menurutnya, kenaikan harga barang khususnya bahan mentah yang berterusan menambahkan beban selain berdepan situasi kekurangan pelanggan.

"Bulan lepas harga satu guni tepung 25 kilogram ialah kira-kira RM43 tetapi pada masa ini naik kepada RM51 selain barang lain seperti tisu yang naik daripada RM4 kepada RM6.

"Kalau dulu beli barang untuk seminggu kira-kira RM400 tetapi sekarang paling tidak pun RM700. Ingatkan tanpa cukai barang dan perkhidmatan (GST) harga semakin turun tapi harga makin naik. Kami tetap jual roti dengan harga lama 90 sen sekeping kerana dengan harga ini pun pelanggan berkira-kira ke kedai apatah lagi kalau harga naik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga kedai makan, Siti Hanisah Mohd. Tajuddin,47, berkata, sejak 20 tahun bergelar peniaga, situasi kini didakwa paling teruk dihadapinya.

Namun dia memberitahu terpaksa meneruskan perniagaan kerana tiada pilihan lain walaupun keuntungan diperoleh tidak berbaloi .

"Sekarang teruk sangat, pelanggan kurang dan barang-barang mahal seperti harga telur naik sangat iaitu RM11 ke atas sepapan selain barang lain seperti lada kecil yang mencecah lebih RM20 sekilogram," katanya.