PSM semakin bergelora

Tengku Zaihan
Tengku Zaihan
A
A
A

KEMELUT dalaman Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus bergelora apabila Persatuan Sepak Takraw Terengganu (PSNT) menjadi ahli gabungan terkini meninggalkan badan induk sepak takraw negara tersebut berkuat kuasa pada Selasa.

Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, keputusan diputuskan dalam mesyuarat khas secara dalam talian pada 12 Mei lalu selepas badan induk sepak takraw Terengganu itu hilang keyakinan terhadap kredibiliti PSM sebagai badan induk sepak takraw kebangsaan.

Menurut Tengku Zaihan, tindakan itu susulan kemelut berterusan antara PSM dengan ASTAF hingga memberikan imej negatif dalam kalangan ahli gabungan tersebut.

“Keputusan menarik diri sememangnya terlalu berat, namun hasil mesyuarat jawatan kuasa induk minggu lalu PSNT dengan penuh rasa tanggungjawab membuat ketetapan menarik diri daripada PSM berkuat kuasa pada 18 Mei selepas PSM gagal menaikkan imej takraw di peringkat antarabangsa.

“PSM juga gagal dalam mengurus tadbir di peringkat kebangsaan pada masa sama gagal memberi penjelasan sebenar mengenai situasi yang berlaku antara PSM dengan ASTAF serta ahli gabungannya.

“Kita memandang serius agar pembangunan sukan sepak takraw di peringkat negeri perlu diteruskan oleh PSM kerana ianya merupakan objektif utama sebagaimana yang terkandung dalam Akta Pembangunan Sukan 1997,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

PSNT menjadi ahli gabungan kelima bertindak keluar daripada PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK).

Pada masa sama jelas Tengku Zaihan, PSNT sebagai ahli gabungan sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan dalam setiap program dianjurkan PSM terutamanya dalam aspek pembangunan serta kemajuan sukan tradisi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jadi PSNT berpendirian tiba masanya PSM memerlukan perubahan dinamik dan anjakan paradigma serius dalam memantapkan hala tuju serta pelaksanaan program bagi mengembalikan kegemilangan arena takraw negara dan meletakkannya kembali di landasan tepat sekali gus memperbaiki imej PSM di peringkat Asia dan antarabangsa.

“PSNT juga berharap satu perubahan yang mantap dan penyusunan semula organisasi PSM perlu dilakukan persatuan sepak takraw negeri-negeri demi pembangunan masa depan sukan ini,” ujarnya lagi.