Himpunan protes: Polis rekod keterangan Yusuf Azmi

Yusuf Azmi
Yusuf Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merekod keterangan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi pada Selasa untuk siasatan himpunan protes tindakan serangan Israel terhadap Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Yusof bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai Hishamuddin Hashim telah hadir untuk memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira jam 12 tengah hari.

"Kedua-dua mereka selesai diambil keterangan oleh Pegawai Penyiasat kira-kira jam 2.30 petang.

"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 Dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, beberapa individu lain yang telah dikenal pasti menyertai perhimpunan tersebut akan turut dipanggil untuk diambil keterangan.

Katanya, memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), individu-individu yang terlibat akan dipanggil bergilir-gilir bagi mengelakkan kesesakan di pejabat.

Pada Isnin, Ashari memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati seramai 20 hingga 25 orang hadir kira-kira jam 1.45 petang hingga 2 petang bagi menyerahkan memorandum namun pihak kedutaan enggan menerima.

Susulan itu, peserta himpunan berada di hadapan kedutaan terbabit sekitar 20 minit bagi melepaskan geram terhadap isu berkenaan.

Artikel Berkaitan: