2 blok bangunan SMK Dato Penggawa Barat tak selamat diduduki

Mohd Shaphri (dua, kiri) menceritakan keadaan blok bangunan tidak selamat diduduki di SMK Dato Penggawa Barat kepada Mazlan (kanan).
Mohd Shaphri (dua, kiri) menceritakan keadaan blok bangunan tidak selamat diduduki di SMK Dato Penggawa Barat kepada Mazlan (kanan).
A
A
A

PONTIAN - Dua blok bangunan makmal dan perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat di sini yang tidak selamat akan dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, keadaan itu dibimbangi mengundang risiko kemalangan kepada 841 pelajar sekolah kerana bangunan berkenaan masih tidak dirobohkan.

“Saya dukacita lihat bangunan yang sudah diwartakan tidak selamat sejak 2014 masih berada dalam kawasan sekolah.

“Ini merbahaya terutama di bahagian bumbung. Dibimbangi serpihan bumbung akan terbang ketika angin kuat terutama ketika musim hujan.

“Jika serpihan bumbung itu terkena pelajar, risiko terlalu tinggi mungkin mengakibatkan kecederaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau akan meminta JKR membuat pemantauan dan kontraktor yang akan melakukan kerja-kerja meroboh bangunan tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

“Wajib dirobohkan, jika tidak dapat peruntukan untuk meroboh bangunan yang memakan kos tinggi, sekurang-kurangnya bumbung dibuka dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di blok bangunan tidak selamat di SMK Dato Penggawa Barat, semalam.

Blok bangunan yang dahulu menempatkan makmal dan perpustakaan tidak lagi digunakan selepas bangunan itu diwarta tidak selamat diduduki pada 2014.
Blok bangunan yang dahulu menempatkan makmal dan perpustakaan tidak lagi digunakan selepas bangunan itu diwarta tidak selamat diduduki pada 2014.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah dan Balapan SMK Dato Penggawa Barat.

Hadir sama, ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Karmaine Sardini serta Pengetua, Mohd Shaphri Mohd Yusof.

Ditanya faktor bangunan berkenaan tidak selamat diduduki, beliau berpendapat kualiti bahan yang kurang menyebabkan bangunan itu tidak mampu bertahan lama.

Berkenaan sebuah lagi bangunan makmal yang terbengkalai di sebelah dewan utama sekolah, jelasnya tindakan selanjutnya hanya dapat diputuskan selepas laporan struktur binaan disiapkan.

“Bergantung kepada laporan struktur kelak, jika tidak selamat bangunan itu akan dirobohkan, tetapi jika selamat untuk diduduki, peruntukkan untuk meneruskan pembinaan bangunan akan diusahakan.

“Walaupun bangunan makmal komputer itu dikatakan tidak selamat, tetapi ia tidak merbahaya kerana tidak mempunyai struktur bumbung,” katanya.