Kereta MB Kedah dibida RM150,000

Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan kereta miliknya yang berjaya dibida oleh Mohammad Yaakob Yusra (kanan) di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Selasa.
Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan kereta miliknya yang berjaya dibida oleh Mohammad Yaakob Yusra (kanan) di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kereta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dibida pada harga RM150,000 dan hasil jualan sepenuhnya akan disumbangkan ke tabung misi bantuan umat Islam di Palestin.

Menurut Muhammad Sanusi, hasil bidaan kereta jenis Volvo XC60 3.0L AWD T6 (2010) yang dibuka pada harga rizab, RM55,000 melonjak tiga kali ganda dan disumbangkan ke akaun aid4Palestine.

“Sasaran saya hanya sekitar RM70,000, pada saat akhir berlaku saingan antara tiga individu dan pembida tertinggi menawarkan RM150,000 untuk memiliki kenderaan itu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, terdapat lebih 20 pembida termasuk dari luar Kedah membida kereta miliknya itu sebaik dibuka untuk bidaan bermula pada Sabtu.

“Ilham untuk membida kereta ini adalah atas ketentuan ALLAH SWT untuk membantu saudara Islam di Palestin. Untuk fasa kedua, saya percaya ramai pihak yang akan terus menyumbang kepada tabung Palestin melalui usaha yang dilakukan oleh Pas Kedah,” katanya.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi membuka kepada orang ramai untuk membida kenderaan miliknya itu bagi mengisi tabung misi bantuan umat Islam di Palestin. Bidaan dibuka selama tiga hari dan ditutup pada Selasa pagi.

Pembida yang berjaya membawa pulang Volvo XC60, Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusof dari Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani mengambil inisiatif ini untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas di negara itu.

“Kalau menteri besar korbankan kereta miliknya untuk bantu Palestin, saya pula membida kereta untuk disalurkan ke tabung Palestin. Sumbangan ini bukan dari akaun MADAD, malah saya wakafkan semula kereta itu kepada MADAD untuk kegunaan tenaga pengajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bermula dengan bidaan RM60,000 kemudian dinaikkan kepada RM80,000, akhirnya dia nekad membida sebanyak RM150,000 seminit sebelum bidaan ditutup.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya mengumumkan kutipan dana bagi fasa pertama Tabung aid4Palestine mencecah RM1.57 juta.

“Pada 2 Syawal, saya mengarahkan entiti dalam parti mengadakan kutipan dana bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas di bumi sendiri. Hanya selepas empat hari dilancarkan, kutipan mencecah RM1 juta dan ia di luar jangkaan kami,” katanya.

Menurutnya, Pas kawasan Baling merekodkan kutipan tertinggi dengan sumbangan melebihi RM170,000.

“Ia menggambarkan keprihatinan dalam kalangan rakyat Kedah terhadap penderitaan yang dialami saudara-saudara kita di Palestin. Semua sumbangan anda akan diserahkan kepada pihak berautoriti di Gaza melalui Aid4Palestine yang diuruskan Pas Pusat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi buka bidaan keretanya untuk tabung Palestin