PKPD di satu mukim di Besut, dua kawasan di Sarawak bermula Khamis

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Mukim Pelagat, Besut, Terengganu melibatkan 13 kampung mulai Khamis ini hingga 2 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, sebanyak 199 kes positif Covid-19 telah direkodkan di semua lokaliti terbabit selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut.

Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di dua kawasan di Bakerkong, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak iaitu di Rumah Panjang Wun Ak Ering dan Sekolah Kebangsaan Bakerkong juga berkuat kuasa Khamis ini hingga 2 Jun.

Beliau berkata, ia berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan itu apabila sebanyak lima kes positif telah direkodkan dalam tempoh empat hari hasil ujian saringan bergejala dan kontak rapat kes positif.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat sekali gus mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 514 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP semalam, dengan 503 daripadanya dikenakan kompaun manakala 11 lagi direman.

Artikel Berkaitan:

Antara kesalahan direkodkan termasuk tidak memakai pelitup muka melibatkan 147 individu, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (127), tiada penjarakan fizikal (62), membawa penumpang berlebihan (13) dan 165 lagi atas kesalahan lain-lain. - Bernama