Abd Rahim bersara wajib, Azri pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar akan bersara wajib esok selepas 35 tahun menyumbang bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan sehubungan itu, Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Datuk Azri Ahmad telah memangku jawatan Pengarah JKDNKA.

Abd Rahim yang dilahirkan pada 19 Mei 1961 di Pekan, Pahang mula menyertai PDRM sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP) pada 2 Februari 1986.

Setelah tamat latihan Kadet ASP, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu telah ditugaskan sebagai ASP Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas.

Selain itu, beliau menyandang beberapa lagi jawatan penting antaranya Timbalan Ketua JSJ Terengganu, Timbalan Ketua JSJ Kedah, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Ketua Polis Kedah.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada 29 Jan 2019 dan mengambil alih jawatan Pengarah JKDNKA pada 9 Sept 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: