Kedah elak episod kecederaan berulang

Aidil Sharin Sahak. Foto: Kedah Darul Aman FC
Aidil Sharin Sahak. Foto: Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak enggan nasib sama menimpa anak buahnya ketika kecederaan membelenggu pemain pada awal musim Liga Malaysia (Liga-M) bermula untuk mereka lebih bersedia menjelang saingan Piala AFC bermula 29 Jun depan.

Aidil tidak menolak Hijau Kuning mempunyai tempoh masa mencukupi untuk mempersiapkan diri bagi aksi peringkat kumpulan Piala AFC menyaksikan Kedah berada dalam kumpulan H bersama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.

Namun, beliau khuatir sekiranya dalam tempoh ini berlaku sekali lagi sebarang kecederaan yang tidak diingini apabila Kedah pernah hilang beberapa tonggak utama pada awal musim dengan ketiadaan Syazwan Tajudin, Renan Alves dan juga Ariff Farhan Md Isa.

Kini, skuad Kedah telah lengkap dengan kembalinya pemain-pemain tersebut kecuali Syazwan yang masih lagi dalam fasa pemulihan ekoran kecederaan

Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan percaya pasukan di landasan terbaik selepas beraksi dengan konsisten dalam 13 perlawanan Liga Super setakat ini.

“Kita akan kembali berlatih pada Jumaat ini dan banyak perbincangan akan dilakukan nanti untuk kita perbaiki semua kelemahan yang ada di mana kita akan menggandakan sesi latihan bagi kekalkan tahap kecergasan fizikal pemain.

“Saya rasa sekarang kami tiada masalah daripada segi prestasi selepas menilai 13 perlawanan apabila kita hanya tewas dua kali, cuma yang penting adalah konsistensi pemain-pemain di mana hanya Syazwan sahaja yang tiada bersama kita kerana ACL.

“Sekarang saya akan merancang beberapa aksi persahabatan yang kita boleh lakukan dan semuanya akan kita pantau juga dengan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menjelang aksi pertama mereka untuk Piala AFC berdepan Persipura Jayapura pada 29 Jun, Aidil tidak menolak cabaran pertama itu akan sengit biarpun skuad kendalian Jacksen F Tiago ini dilihat pasukan bukan pilihan berbanding dua lagi lawan mereka.

Apa yang pasti, beliau enggan letak sasaran awal sebaliknya ingin menghadapi satu demi satu perlawanan tanpa memberi tekanan kepada barisan pemain.

“Saya ada memantau beberapa aksi yang ditampilkan oleh Persipura sebelum ini dan saya boleh katakan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh persediaan ini.

“Cuma saya tidak mahu letak ramalan apa-apa kerana saya nak pergi dari satu aksi ke satu aksi terlebih dahulu. Jika kita dapat keputusan positif untuk perlawanan pertama ini, mungkin kita akan lihat daripada situ untuk letak sasaran bagaimana,” jelasnya.

Saingan Liga Malaysia ketika ini berehat sehingga 9 Julai bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum Kedah dan Terengganu FC pula berentap untuk saingan Piala AFC bermula 29 Jun sehingga 6 Julai depan.