Pas perlu buat apa saja demi survival parti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pas memberi sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dalam masa sama membantu BN dalam PRK Semenyih adalah demi survival parti Islam itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Fuad Othman berkata, itu juga merupakan tujuan asal Pas sebagai blok ketiga.

"Sebagai parti politik, Pas perlu melakukan apa saja demi survival partinya. Mungkin Pas lebih serasi dengan UMNO dalam blok pembangkang, tetapi ada juga kepentingan lain yang Pas rasa perlu kerjasama dengan kerajaan.

"Cuma dari segi pendirian itu susah nak baca, tak berapa jelas. Kita tak tahulah Pas ketika ini apa peranan mereka nak main khususnya dalam politik Malaysia," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, tindakan Pas juga untuk memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik negara ketika ini.

"Sebab Pas tak ada dalam PH yang boleh menyumbang secara bermakna kepada negara. Jadi Pas perlu dilihat sebagai satu kuasa yang bermakna dalam landskap politik.

"Lagipun sejarah Pas selalu begitu, dulu pun mereka sertai PR dan kemudian keluar. Ia satu lumrah dalam strategi politik Pas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Semenyih: Hubungan Pas-BN kekal

Artikel Berkaitan:

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat memaklumkan bahawa parti itu akan terus mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu telah menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada BN dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza berbanding PRK Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Takiyuddin mengesahkan, perakuan bertulis yang berbentuk contoh diberikan sebagai komitmen sokongan Pas terhadap kepimpinan Dr Mahathir di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU15.