Kedah berhak terima pampasan kerajaan Persekutuan

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyokong sepenuhnya tindakan Kedah untuk mendapatkan pampasan Persekutuan kerana melindungi dan memulihara Ulu Muda secara sah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, Kedah berhak mendapat pampasan itu berikutan kawasan Ulu Muda berperanan sebagai lembangan dan tadahan air untuk tiga negeri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Menurutnya, hutan Ulu Muda adalah kawasan tadahan air di Kedah yang mengumpulkan 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah.

"Ia merupakan kawasan tadahan air utama Sungai Muda, dari mana Pulau Pinang mengabstrak lebih 80 peratus air mentahnya setiap hari.

"Disebabkan Ulu Muda berfungsi untuk tiga negeri di Wilayah NCER dan bukan hanya Pulau Pinang, kami sangat setuju bahawa Kedah berhak mendapat pampasan untuk melindungi dan memulihara Ulu Muda sebagai Lembangan NCER," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah dilaporkan menuntut RM50 juta setahun dari Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun dari kerajaan Persekutuan untuk menghentikan pembalakan di Hutan Ulu Muda.

Mengulas lanjut, Jaseni berkata, rasional Kedah memohon pampasan Persekutuan berdasarkan kepada tiga fakta mudah.

Jelasnya, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah tiga negeri berjiran di Malaysia, bukan tiga negara yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada tahun 2019, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM147.8 bilion kepada KDNK Malaysia dan RM16.4 bilion hasil cukai kepada kerajaan Persekutuan.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 (Akta 654) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 (Akta 655), kerajaan Persekutuan bertanggungjawab kepada perkhidmatan bekalan air di Malaysia.

"Ringkasnya, tiada alasan atau asas undang-undang bagi Menteri Besar Kedah membezakan Pulau Pinang dengan menuntut pembayaran kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.

"Apa sahaja pampasan yang diminta oleh Kedah untuk perlindungan undang-undang dan pemuliharaan Ulu Muda yang sewajarnya adalah dari kerajaan Persekutuan," katanya.