Covid-19: 17 masjid, surau di Perak ditutup sementara

Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin turut memaklumkan penutupan sementara jabatan itu. Gambar kecil: Mohd Yusop
Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin turut memaklumkan penutupan sementara jabatan itu. Gambar kecil: Mohd Yusop
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mengesahkan sebanyak 17 masjid dan surau di negeri ini ditutup sementara berikutan penularan kes Covid-19 di dalam komuniti.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, selain masjid, beberapa pejabat bahagian dan pejabat agama daerah turut ditutup sementara.

Menurutnya, penutupan sementara itu dibuat bagi kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi di kawasan masjid serta pejabat yang terlibat.

"Sehingga kini, sebanyak 17 masjid dan surau di negeri ini diarahkan tutup sementara waktu termasuk 12 daripadanya di Ipoh. Selain itu, Pejabat Bahagian Halal JAIPk di Jalan Labrooy, di sini dan Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Datuk juga ditutup sementara.

"Kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi sedang dilakukan di lokasi terlibat. Pembukaan semula semua masjid, surau dan pejabat yang terlibat akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai penutupan beberapa masjid dan pejabat agensi agama di Perak.

MAIPk turut memaklumkan semua operasi kaunter mereka juga ditutup sehingga 21 Mei bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta proses pemulangan kutipan dan kupon zakat fitrah oleh amil.
MAIPk turut memaklumkan semua operasi kaunter mereka juga ditutup sehingga 21 Mei bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta proses pemulangan kutipan dan kupon zakat fitrah oleh amil.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin memaklumkan penutupan sementara jabatan itu.

Artikel Berkaitan:

Melalui kenyataan itu, penutupan tersebut bermula pada 18 hingga 20 Mei dan sepanjang tempoh tersebut sebarang urusan akan dilaksanakan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut mengumumkan penutupan sementara operasi semua kaunter MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan, kaunter di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pentadbiran MAIPk Daerah di seluruh Perak.

Menerusi kenyataan di Facebook Zakat Perak - MAIPk, penutupan bermula pada 17 hingga 21 Mei itu dibuat bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta proses pemulangan kutipan dan kupon zakat fitrah oleh amil.

Menurut MAIPk, sebarang urusan pembayaran zakat, fidyah dan wakaf digalakkan untuk dilaksanakan secara dalam talian.