Niceyer Laundry mahu dikenali sebagai dobi paling ‘hygiene’

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Syarikat dobi Niceyer Laundry and Carpet Services, Pengkalan Chepa di sini menetapkan sasaran untuk lebih dikenali sebagai dobi paling ‘hygiene’ atau bertahap kebersihan paling tinggi.

Pengarah Niceyer Laundry and Carpet Services, Tengku Aiman Tengku Abd Wasa berkata, misi itu bertepatan dengan kehendak semasa rakyat seluruh dunia yang diancam pandemik Covid-19.

Katanya, ramai yang bimbang akan tahap kebersihan dobi apabila wujud Covid-19 menyebabkan pihak syarikat lebih menitikberatkan isu kebersihan mesin-mesin dan peralatan syarikat yang digunakan untuk melaksanakan perkhidmatan dobi.

“Sebelum ini, peralatan sememangnya sentiasa dibersihkan namun semasa pandemik ini, kerja-kerja sanitasi dilakukan pada setiap hari bagi memastikan ia benar- benar bersih dan selamat daripada kuman.

“Malahan syarikat wajib menyerahkan laporan swab mesin dan pekerja kepada Radicare (M) Sdn Bhd pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata, Niceyer Laundry and Carpet Services menerima sehingga 2.5 tan fabrik pelbagai jenis pada setiap hari daripada pelanggan awam mahupun syarikat seperti hotel-hotel terkemuka di seluruh Kelantan.

“Kami memberi perkhidmatan mencuci cadar, tuala dan selimut hotel malahan berdaftar sebagai wakil Radicare yang turut bertindak sebagai dobi sokongan bagi mencuci cadar pesakit serta uniform hospital.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Mencuci baju-baju dan cadar yang digunakan oleh pesakit pada waktu pandemik ini sangat mencabar kerana kami perlu meningkatkan tahap waspada terhadap Covid-19 bagi menggelakkan jangkitan, maka kerja sanitasi dilakukan secara ketat,” katanya.

Bercerita lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Haiwan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, dia memulakan perniagaan dobi berkenaan pada tahun 2014 dengan menyewa sebuah premis Baung, Pengkalan Chepa.

“Modal diperoleh daripada hasil ternak itik semasa di universiti berjumlah RM2,000.

“Bermula dengan membeli dua mesin basuh dan dua mesin pengering terpakai daripada sebuah syarikat bundle dan kini berkembang ke kawasan kilang yang menyediakan perkhidmatan dobi berskala besar bersama 11 pekerja,” katanya.

Menurutnya, Niceyear Laundry and Carpet Services Sdn Bhd kini mempunyai empat mesin basuh 100 kilogram (kg), enam mesin pengering 100kg serta dua mesin seterika dan lipat.

“Kami vendor kepada 20 hotel di Kelantan yang berkhidmat mencuci cadar, selimut dan tuala hotel.

“Selainnya turut mencuci, menggosok dan melipat baju pelanggan awam dan cadar serta baju pesakit hospital dengan standard kebersihan yang amat terjamin,” katanya.