Hadir di PPV ikut slot masa

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Penerima vaksin diingatkan supaya hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut slot masa yang telah diberikan.

Tegas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ketibaan penerima terlalu awal boleh menyebabkan kesesakan di PPV.

"Penerima vaksin hanya akan dibenarkan masuk ke PPV mengikut waktu yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, individu dengan status kes yang disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan tidak dibenarkan hadir serta masuk ke PPV.

"Sila semak status risiko Covid-19 diri di aplikasi MySejahtera sebelum datang ke PPV bagi mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang individu yang telah menerima janji temu dan tidak dapat hadir, tarikh baharu akan diberikan pada suatu tarikh lain yang akan ditentukan.

"Setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang akan dihubungi bagi menggantikan mana-mana ketidakhadiran untuk mengurangkan risiko pembaziran vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Khairy mengulangi komitmen kerajaan bahawa pembekalan vaksin kepada semua individu yang layak di seluruh negeri bagi program PICK adalah mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada komitmen ini, negeri juga dibenarkan untuk menjalankan inisiatif pembelian bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat vaksin yang dibeli perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.

Bagaimanapun katanya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengambil maklum bahawa jenis vaksin yang cuba diperoleh.

"Contohnya Selangor buat masa ini (membeli) dari syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah PICK," katanya.

Menurutnya, berdasarkan syarat perjanjian di antara kerajaan Persekutuan dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang telah ditempah perlu dan akan didahulukan kepada kerajaan Persekutuan.

"Ini bagi memastikan pelaksanaan PICK, sebelum bekalan vaksin disalurkan syarikat farmaseutikal kepada pihak lain termasuk kerajaan negeri, industri dan pihak swasta," katanya.

Katanya, CITF mengalu-alukan pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada PICK atau negeri dengan syarat telah mendapat kelulusan NPRA.

"Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca," katanya.

Tambah Khairy, pihaknya maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada PICK.

"Bagaimanapun, setelah pemeriksaan dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini yang telah dikemukakan oleh Yayasan Sekhar.

"CITF ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak yang mahu meneruskan hasrat murni ini, namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran yang ditetapkan," katanya.