X

Kindly register in order to view this article
!

Lantik hakim luar negara dalam RCI

A
A

SHAH ALAM - Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpendapat satu pasukan petugas khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menentukan kebenaran berhubung dakwaan campur tangan dan isu salah laku melibatkan hakim kanan.

Menurutnya, sekiranya RCI diwujudkan ia bukan sahaja membantu mencari kesahihan bagi setiap dakwaan yang dibuat malah, dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman negara.

"Afidavit yang dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada baru-baru ini mendedahkan berlakunya unsur campur tangan bagi keputusan kes-kes mahkamah yang dibuat.

"Walhal, dalam membuat dan menetapkan sebarang keputusan kes, para hakim tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Atas faktor ini RCI diperlukan untuk menentukan sama ada dakwaan itu benar atau tidak," jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Ulas Nik Ahmad Kamal, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu yang paling layak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan pasukan petugas khas RCI bagi menyelesaikan isu itu dengan segera.

Menyentuh mengenai barisan panel dalam pasukan RCI, Nik Ahmad Kamal menyifatkan, pemilihan individu yang tidak mempunyai kepentingan dan kaitan terhadap kes-kes yang dikemukakan adalah jalan terbaik.

"Terdapat cadangan sekiranya pasukan RCI melantik kumpulan hakim dari luar negara seperti India atau Singapura supaya proses pengadilan dijalankan secara adil dan tidak berat sebelah," ujarnya.

Terdahulu, isu tersebut timbul berikutan Hamid Sultan mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung beberapa insiden campur tangan undang-undang dalam kehakiman Malaysia termasuk dakwaan campur tangan undang-undang dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Kes kedua pula berkaitan pendedahan Hamid Sultan pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang 2018 pada 16 Ogos tahun lalu, yang mendakwa seorang hakim kanan campur tangan dalam kes rayuan seorang guru tadika M Indira Gandhi berhubung penukaran agama tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.