Tiada kesesakan luar biasa pada musim perayaan

Aliran trafik sesak menuju ke Plaza Tol Gombak adalah disebabkan pemeriksaan SJR yang dilakukan.
Aliran trafik sesak menuju ke Plaza Tol Gombak adalah disebabkan pemeriksaan SJR yang dilakukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan tiada sebarang pergerakan luar biasa dikesan di lebuh raya utama di seluruh negara semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Berdasarkan statistik sepanjang Operasi Rentas (Op Rentas) selama tujuh hari oleh JSPT sejak 10 Mei hingga Ahad lalu, jumlah kenderaan adalah berkurangan berbanding Operasi Lancar yang dijalankan pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, jumlah kenderaan yang direkodkan pada hari raya pertama, Khamis lalu, adalah sebanyak 1,100,568 berbanding hari raya pertama pada 24 Mei tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 2,035,801 kenderaan.

"Terdapat peningkatan kenderaan pada 15 Mei (Sabtu) lalu iaitu sebanyak 462,373 buah kenderaan yang menggunakan lebuh raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Nadzri berkata, jumlah kenderaan bagaimanapun mencatatkan penurunan kepada 235,275 buah kenderaan pada Ahad.

"Berdasarkan pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya (SJR) pergerakan yang melalui rentas negeri dan daerah ini mempunyai kelulusan atas urusan pasangan jarak jauh (PJJ), sektor perkhidmatan penting dan kecemasan.

"Malah hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mereka mempunyai surat kebenaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah," katanya.

Mengulas mengenai rakaman yang tular disebabkan jumlah kenderaan yang banyak melalui Lebuhraya Karak, Mohd Nadzri menyatakan bahawa ia disebabkan oleh proses pemeriksaan SJR yang dilakukan di Plaza Tol Gombak.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin tegaskan bahawa tiada kesesakan luar biasa berlaku," katanya.