Prosiding rayuan kes Najib selesai

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Tarikh keputusan rayuan bagi kes pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan dana SRC International berjumlah RM42 juta membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Mahkamah Rayuan akan dimaklumkan kemudian.

Panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan perkara itu sejurus selesai prosiding rayuan pada Selasa.

Abdul Karim berkata, barisan panel hakim memerlukan masa untuk membuat pertimbangan dan keputusan berhubung rayuan tersebut.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membuat kajian dengan penuh ketelitian dan saya rasa ini adalah salah satu kes rayuan yang memakan masa agak lama berbanding dengan rayuan yang lain.

"Memandangkan ia melibatkan isu dan perkara yang amat penting, kami memerlukan masa untuk membuat pertimbangan, maka kami akan maklumkan keputusan itu apabila sudah bersedia," katanya.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan hujahan bertulis dalam masa seminggu bermula Selasa.

Semasa prosiding penutup, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata, dengan rendah diri mengemukakan bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung kes CBT adalah salah dari segi undang-undang.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kes ini dan berusaha mencari perkara baharu untuk diisi jurang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap mahkamah yang mulia ini dapat menggunakan kuasa rayuannya untuk membetulkan kesilapan yang serius tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, Mohd Nazlan juga tersalah arah ketika membuat keputusan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low; bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah SRC, Terence Geh bekerjasama untuk memenuhi tugas seperti yang diamanahkan oleh Najib.

“Mahkamah juga salah dalam undang-undang ketika mendapati bahawa melalui afidavit yang disahkan oleh Najib dalam saman sivil menunjukkan bahawa Najib mengetahui bahawa RM42 juta itu berasal dari SRC,” katanya.

Sebelum prosiding itu bermula, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mengutarakan harapan agar peguam-peguam Najib dapat menutup hujahan pada Selasa.

Menurutnya, hujahan hari sejak hari pertama prosiding sentiasa berulang-ulang malah mereka berkesempatan untuk menyediakan nota ucapan.

"Hujahan yang dikemukakan oleh mereka adalah bersifat terkemudian," katanya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, 68, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta serta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan itu selesai.

Dua hari kemudian, Najib memfailkan notis rayuan di sini terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Prosiding yang berlangsung selama 15 hari bermula 5 April lalu berakhir pada Selasa selepas semua pihak membuat hujahan akhir di hadapan tiga panel hakim.

Ini merupakan percubaan pertama Najib dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu mensabitkan bekas Perdana Menteri itu bersalah atas tujuh pertuduhan berkenaan.