PKPD di Kota Setar: Semua akad nikah ditangguh

Akad nikah melibatkan 332 pasangan pengantin berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga PKPD berakhir nanti. Gambar hiasan
Akad nikah melibatkan 332 pasangan pengantin berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga PKPD berakhir nanti. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis akad nikah pasangan pengantin di Kota Setar ditangguhkan sementara waktu selama 14 hari berkuat kuasa Rabu hingga 1 Jun ini.

Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, penangguhan majlis akad nikah itu susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar.

Menurutnya, sebelum ini seramai 332 kebenaran berkahwin yang telah dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Kota Setar bagi perkahwinan dalam tempoh 14 hari berkenaan.

"Bagaimanapun, akad nikah melibatkan 332 pasangan pengantin berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga PKPD berakhir nanti.

"Saya minta semua bakal pengantin hadir ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar selepas PKPD berakhir bagi mendapatkan tarikh akad nikah yang baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua masjid ghairu jamek dan surau dalam daerah Kota Setar diarah tutup sepenuhnya dalam tempoh PKPD.

Katanya, masjid hanya dibuka untuk solat fardu berjemaah dengan bilangan lima jemaah dan hanya 12 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat melibatkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

"Bagi ahli kariah bukan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah boleh solat fardu di rumah, pada hari Jumaat, solat fardu Zohor hendaklah dilakukan bagi menggantikan solat Jumaat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebarang majlis ilmu seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah duha ataupun majlis tahlil serta doa adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.