X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Taman Mahsuri: Pemandu teksi diarah patah balik

Rodzi (tengah) melakukan pemeriksaan di SJR PKPD Taman Mahsuri, Kubang Pasu pada Selasa.
A
A

KUBANG PASU - Seorang pemandu teksi diarahkan berpatah balik ketika mencuba nasib untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Mahsuri, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, lelaki yang tinggal di Taman Mahsuri berkenaan baru selesai menjalani ujian swab dan didapati memakai gelang merah jambu.

Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan tidak dibenarkan keluar kerana peraturan menetapkan individu memakai gelang merah jambu tidak dibenarkan keluar dari kawasan lokaliti PKPD.

"Jadi, saya menasihatkan mana-mana individu memakai gelang merah jambu tidak keluar dan berkeliaran, yang mana mereka boleh diambil tindakan sewajarnya sekiranya dikesan melakukan perbuatan itu.

"Kita buat pemeriksaan ke atas semua, jikalau individu terlibat ada surat rentas dan memiliki keperluan perubatan ataupun kecemasan kita benarkan berdasarkan sebab munasabah dikemukakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) PKPD Taman Mahsuri, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Rodzi berkata, pihaknya mendirikan empat SJR di kawasan PKPD, seperti jalan masuk Taman Mahsuri, jalan masuk Kampung Paya Kerchut dan dua lagi di Jalan Lubuk Kawah.

Katanya, penugasan SJR di lokaliti PKPD tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kita memastikan tiada individu yang dibenarkan keluar ataupun masuk di lokaliti itu melibatkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman, mukim Naga," katanya,

Menurut Rodzi, pihaknya mengerak atur dan menyediakan pasukan pemantau melibatkan hampir 64 anggota bagi tujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tersebut.

Katanya, selain itu, kedai runcit dibenarkan beroperasi, manakala lain-lain premis seperti gerai tidak dibenarkan menjalankan aktiviti di kawasan PKPD dan hanya ketua keluarga dibenarkan ke kedai runcit.

Katanya, semua laluan tikus di sembilan lokaliti PKPD turut ditutup menggunakan konkrit batu yang dibekalkan Jabatan Kerja Raya (JKR) demi memastikan tiada individu keluar ataupun masuk.

Rodzi menegaskan, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan dikehendaki menyalurkannya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra dikenakan PKPD selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mei.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!