Covid-19: Ibu pejabat SAINS ditutup

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Ibu Pejabat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Seremban 2, diarah tutup selama lima hari berikutan terdapat kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, pejabat mula ditutup pada 17 hingga 21 Mei ini.

Katanya, penutupan ini bertujuan untuk memastikan segala kerja-kerja saringan kepada kakitangan dan sanitasi ruang pejabat dapat dijalankan dengan lancar.

"Kita sedang mengesan kontak rapat kepada pekerja yang dijangkiti Covid-19, dan telah dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut.

"Bagi kerja-kerja sanitasi ruang bekerja di ibu pejabat SAINS, kita telah mendapatkan bantuan serta kerjasama daripada pihak bomba Seremban 2 dan kerja-kerja telah dilaksanakan pada Isnin lalu.

"SAINS amat terkesan dengan perkara ini, namun kita tetap meneruskan tanggungjawab bagi kerja-kerja operasi dan agihan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan seperti biasa demi keperluan pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, SAINS mengharapkan kerjasama semua pihak terutama kepada pelanggan untuk terus mempercayai keupayaan SAINS dalam membekalkan bekalan air secara berterusan dengan kualiti air yang terjamin kepada pengguna.

Kata Norzita, walau pun dalam keadaan pandemik Covid-19 semakin meningkat pada masa ini, SAINS tetap komited menguruskan bekalan air dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Segala maklumat berkenaan gangguan bekalan air disebabkan paip pecah atau kekangan berpunca di loji, rumah pam atau bencana alam turut dipaparkan di dalam portal rasmi SAINS di www.sainswater.com dan juga FB Pusat Khidmat Pelanggan Sains.