Sarawak setuju vaksin AstraZeneca digunakan dalam pelan imunisasinya

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Sarawak (CITF Sarawak) memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 yang kini dikenali Vaxzevria, bagi melengkapi pelan imunisasi negeri itu.

Menurut kenyataan CITF Sarawak pada Selasa, keputusan itu dibuat selepas ia mendengar ulasan dan pembentangan Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCoVAG) yang mengesyorkan penggunaan Vaxzevria untuk penduduk Sarawak yang layak, berdasarkan konsep sukarela.

“Vaksin itu akan dibekalkan ke Sarawak menerusi koordinasi CITF Kebangsaan dan akan ditawarkan kepada penduduk yang layak, berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’ menerusi janji temu,” kata badan tersebut.

CITF Sarawak berkata, pusat vaksinasi berasingan akan ditubuhkan dan dipersiapkan bagi memberikan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang bersetuju menerima vaksin berkenaan dan operasi pusat terbabit akan diumum apabila tiba masanya.

“SCoVAG mengesyorkan penggunaan vaksin itu ke atas mereka yang berumur 60 tahun ke atas di kawasan bandar, berdasarkan insiden kesan buruk keseluruhan yang rendah iaitu 6.5 bagi setiap sejuta dos, selain faedah yang tinggi berbanding risiko dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

CITF Sarawak berkata, negeri itu pada mulanya memilih untuk tidak menyertakan AstraZeneca dalam pelan vaksinasi Covid-19 berikutan rakyat menunjukkan rasa takut dan keberatan selepas kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa vaksin tersebut menjadi sebahagian daripada Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Susulan situasi itu, kerajaan Persekutuan mengeluarkan vaksin berkenaan daripada pelan terbabit dan menawarkannya kepada mereka yang secara sukarela mahu menerima vaksin tersebut berdasarkan konsep “siapa cepat dia dapat”, yang mendapat sambutan memberangsangkan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh portal berita Sarawak menunjukkan 69.4 peratus daripada 1,037 responden bersetuju AstraZeneca diberikan kepada penduduk Sarawak, manakala 52.9 peratus daripada 1,040 responden pula mahu disuntik dengan vaksin itu.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil kira perkembangan baharu ini serta kesediaan rakyat di Sarawak menerima vaksin AstraZeneca, CITF Sarawak bersetuju untuk membenarkan vaksin ini digunakan di Sarawak atas konsep sukarela berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’," katanya. - Bernama