Covid-19: 47 kematian, 4,865 kes positif

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes kematian berkaitan Covid-19 terus menggerunkan apabila 47 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 adalah 1,994.

Menurutnya, kes kematian pada Selasa dilaporkan 18 kes di Selangor, Sarawak (lima), Pulau Pinang (lima), Johor (empat), Kuala Lumpur (empat), Kelantan (empat), Perak (tiga), Pahang (dua) Kedah (satu) dan Negeri Sembilan (satu).

"Kes kematian berkenaan melibatkan usia antara 33 hingga 94 tahun serta mempunyai penyakit lain.

"Seramai 32 daripadanya adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 turut merekodkan peningkatan apabila 4,865 kes baharu dilaporkan.

"Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 479,421 kes dan jumlah kes aktif seluruh negara adalah 44,827 kes.

"Daripada jumlah kes baharu, lima kes import dikenalpasti, manakala 4,860 adalah penularan dalam negara membabitkan 4,650 rakyat tempatan dan 210 warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, keadaan di unit rawatan rapi (ICU) terus sesak dengan 531 kes sedang dirawat.

"Seramai 277 pesakit Covid-19 memerlukan bantuan mesin pernafasan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 3,497 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dilaporkan.

"Jumlah kumulatif kes sembuh adalah 432,600 kes bersamaan 90.2 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Selangor kekal melaporkan kes tertinggi dengan 1,743 kes.

"Ia diikuti Sarawak (512), Kuala Lumpur (477), Johor (407) dan Kelantan (406).

"Kedah pula merekodkan 244 kes, Pulau Pinang (220), Perak (160), Terengganu (156), Pahang (152), Negeri Sembilan (149), Melaka (127) dan Sabah (95).

"Tiga negeri dan wilayah melaporkan satu angka iaitu Putrajaya (sembilan), Labuan (enam) dan Perlis (dua)," katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 19 kluster baharu dikenalpasti KKM membabitkan tujuh kluster tempat kerja, lima kluster keagamaan, tiga kluster institusi pendidikan dan empat komuniti.

"Jumlah keseluruhan kluster yang telah dikesan adalah 1,920 dan 1,423 daripadanya telah diisytiharkan tamat.

"Terdapat 497 kluster masih aktif dan merekodkan pertambahan kes," katanya.