Tiada kes rentas daerah, negeri direkod di Temerloh

Antara sekatan jalan raya yang dijalankan sekitar daerah Temerloh. - Foto Ihsan PDRM
Antara sekatan jalan raya yang dijalankan sekitar daerah Temerloh. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Tiada kes merentas daerah atau negeri tanpa surat kebenaran direkodkan di Temerloh sehingga Isnin sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bermula 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mereka yang merentas daerah atau negeri memiliki dokumen rentas sah.

Menurutnya, ia menunjukkan masyarakat patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Selain itu, sebanyak tujuh kompaun telah dikeluarkan terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP.

"Enam kompaun membabitkan kesalahan individu yang tidak memakai pelitup muka," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, sebuah premis perniagaan juga dikenakan kompaun kerana didapati tidak menyediakan aplikasi MySejahtera di premis terbabit.

"Dalam pemeriksaan itu, enam individu dikompaun RM2,000 seorang, manakala pemilik premis terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM10,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai di daerah ini kekal mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: