Penduduk Islam Kashmir terkesan

Pihak berkuasa memeriksa kesan kemusnahan selepas insiden letupan bom yang menyasarkan konvoi tentera di Pulwama pada minggu lalu.
Pihak berkuasa memeriksa kesan kemusnahan selepas insiden letupan bom yang menyasarkan konvoi tentera di Pulwama pada minggu lalu.
A
A
A

PIHAK berkuasa India telah memberi amaran terhadap ketegangan kaum yang semakin meningkat selepas komuniti Kashmir berdepan langkah pengusiran, penggantungan kerja selain diserang di media sosial selepas insiden pengeboman berani mati yang meragut sekurang-kurangnya 41 nyawa pada minggu lalu.

Serangan bom ke atas konvoi pasukan tentera pada Khamis lalu itu didakwa didalangi kumpulan militan berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammad, disifatkan sebagai keganasan terburuk dalam tempoh tiga dekad.

Susulan insiden itu, penduduk Islam Kashmir kini menghadapi ancaman komuniti India terutamanya di Haryana dan Uttarakhand hingga memaksa Kementerian Dalam Negeri Persekutuan mengeluarkan arahan kepada semua negeri untuk memastikan keselamatan dan keamanan serta keharmonian kaum.

Seorang pelajar Kashmir di Dehradun, Aqib Ahmad berkata, tuan rumah meminta dia keluar kerana bimbang kediaman tersebut diserang.

Dua rakannya memberitahu, mereka juga diminta mengosongkan bilik sewa secepat mungkin.

"Ke mana kami mahu pergi?" kata Waseem Akram yang turut meminta pihak berkuasa memastikan keselamatan kesemua pelajar etnik Kashmir.

Situasi yang semakin tegang itu juga telah menyebabkan harga tiket penerbangan naik mendadak.

Media tempatan melaporkan beberapa pelajar Kashmir diserang anggota kumpulan berhaluan kanan di Uttarakhand.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seorang lelaki Kashmir di bandar Bengaluru telah ditahan di bawah undang-undang hasutan era penjajah kerana didakwa menyokong militan.

Polis di Jammu dan Kashmir memaklumkan mereka menyediakan penginapan sementara kepada mereka yang pulang ke Kashmir selain membuka talian hotline untuk bantuan segera jika berdepan masalah atau gangguan.

Lebih 300 pelajar terpaksa pulang

Pelajar Kashmir di daerah Ambala kini diselubungi ketakutan selepas rakaman video di media sosial menunjukkan seorang ketua kampung meminta penduduk mengusir pelajar etnik terbabit.

"Mereka yang gagal berbuat demikian dianggap sebagai pengkhianat," menurut lelaki dalam video tersebut.

Sejak ancaman semakin meningkat, lebih 300 pelajar Kashmir dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka telah tiba di Mohali dari Uttarakhand dan Haryana.

No Image Caption

Presiden Pertubuhan Pelajar Kashmir, Khwaja Itrat berkata, hampir 150 pelajar berpindah ke Jammu di mana mereka akan pulang ke Lembah Kashmir.

"Mereka mahu singgah di Mohali kerana ia adalah tempat yang selamat. Kami membantu mereka mengatur penginapan sementara di sini. Pihak berkuasa di sini bekerjasama dan membantu kami. Ia adalah masa yang sangat genting untuk kebanyakan pelajar kerana peperiksaan akhir semakin hampir. Tidak hadir ke kelas pada waktu ini bakal memberi kesan kepada gred mereka.

"Kumpulan pelajar terbabit berharap agar isu itu segera selesai dan kemudian mereka akan memutuskan untuk kembali semula ke tempat pengajian," jelasnya.

Jaminan perlindungan keselamatan

Ahad lalu, Ketua Menteri Punjab, Amarinder Sing menjelaskan kesemua pelajar Kashmir akan diberi perlindungan penuh oleh kerajaan.

"Tiada siapa akan diganggu," tegasnya.

Pemimpin politik dari Kashmir juga merayu kepada kerajaan supaya memastikan keselamatan penduduk Kashmir di seluruh India.

Kebanyakan pengguna Twitter turut menawarkan rumah mereka sebagai tempat berlindung kepada penduduk Kashmir yang mahu mendapatkan perlindungan dengan menggunakan hashtag #UnHateNow dan #SafeHaven.

Selain golongan pelajar, seorang pekerja Kashmir juga terkesan akibat kejadian serangan tersebut.

Pengguna Facebook, Anshul Saxena telah memuat naik tangkap layar (screenshot) surat penggantungan kerja individu tersebut di sebuah syarikat farmaseutikal.

"Memahami rasa sakit dan penderitaan. Kita tidak boleh gunakan alasan serangan atau gangguan seperti itu untuk menganiaya mereka dari Jammu dan Kashmir. Kenapa mereka perlu tanggung kesalahan orang lain?" kata bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti.

Ketika ini, krisis antara India dan Pakistan juga dilaporkan semakin meningkat selepas New Delhi menuduh Islamabad melindungi militan hingga ia memberi kesan kepada hubungan perdagangan dan diplomatik antara kedua-dua negara. - Agensi