Sabotaj kerajaan: RTM lupa mereka kerajaan

Teo Kok Seong
Teo Kok Seong
A
A
A
SHAH ALAM - Pemimpin politik PH dilihat masih belum bersikap matang susulan dakwaan mengatakan stesen penyiaran RTM mensabotaj kerajaan persekutuan.

Penganalisis politik, Prof Teo Kok Seong berkata, tindakan itu memperlihatkan PH dibayangi dengan sikap pembangkangnya, sehingga terlupa yang kini mereka sudah menjadi kerajaan.

Beliau berkata, sikap terus menghentam dan mengeluarkan kenyataan secara umum sekiranya ada kesilapan dalam urus tadbir kerajaan baharu jelas memperlihatkan sikap belum matang.

“Ini satu kelemahan kerajaan PH. Sembilan bulan memerintah masih seperti pembangkang kerana suka bantah secara keras dan terus ke pengetahuan awam.

“Saya rasa pegawai peribadi menteri yang terlibat juga terlalu gopoh di mana mereka bertindak seperti masih menjadi pembangkang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, pembantu Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan mempersoalkan stesen penyiaran itu mensabotaj kerajaan persekutuan apabila RTM tidak menyiarkan laporan mengenai bosnya, Anthony Loke.

RTM juga didakwa tidak melaporkan sebarang berita mengenai Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban.

Dalam pada itu, Kok Seng berkata, sebarang masalah atau salah faham sebaiknya dibincangkan secara tertutup kerana ia melibatkan urus tadbir mereka sendiri.

“Dalam kes ini bagi saya, ia hanya salah faham. Terlalu cepat jika nak dikatakan kes pulau sebab seperti tidak masuk akal kerajaan PH nak pulau pemimpin mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Jika berlaku di negeri pembangkang itu, kita faham kerana parti bukan PH. Tetapi ini pemimpin kerajaan yang sama dan tindakan itu seperti membuka pekung sendiri,” katanya.