JKKP arah kerja penyelenggaraan dandang dihentikan

Zamzurin menjalankan pemeriksaan pada bahagian pintu 'thermal oil heater'.
Zamzurin menjalankan pemeriksaan pada bahagian pintu 'thermal oil heater'.
A
A
A

TAPAH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengarahkan aktiviti penyelenggaraan pada dandang (boiler) di sebuah kilang pemprosesan batu kuari di Batu 3, Temoh di sini dihentikan serta-merta.

Pengarah JKKP negeri, Ir Zamzurin Maarof berkata, ia bagi memberi laluan siasatan lanjut dilakukan selepas berlakunya insiden letupan pada mesin yang diselenggara itu pada Isnin hingga mengakibatkan seorang jurutera dan dua juruteknik kilang terbabit melecur pada muka dan tangan.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati dandang jenis ‘thermal oil heater’ yang sedang dalam proses ‘start-up’ untuk beroperasi telah meletup dan mengakibatkan kerosakan pada bahagian pintu dan sebahagian daripada komponen ‘furnace’ ‘thermal oil heater’.

"Jentera ‘thermal oil heater’ ini berfungsi untuk membekalkan sumber haba ke dalam ‘dryer’ bagi tujuan mengeringkan arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar di dalam jentera ‘kiln’.

"Letupan yang berlaku telah menyebabkan ‘burner’ tercabut dari kedudukan ia dipasang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiga lelaki tempatan berusia 30, 41, dan 44 tahun cedera dengan kesan lecur pada muka selepas berlaku letupan dan kebakaran di satu mesin pendadang yang sedang dibaiki sekitar jam 10.45 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruteknik melecur muka, mesin dibaiki meletup