Rumah sewa jadi transit seludup dadah

Ayob Khan (tengah) menunjukkan rampasan dadah menerusi operasi khas dijalankan Pasukan Marin Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sekitar Muar.
Ayob Khan (tengah) menunjukkan rampasan dadah menerusi operasi khas dijalankan Pasukan Marin Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sekitar Muar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah bernilai RM3.02 juta yang menjadikan sebuah rumah sewa di Kampung Parit Jawa, Muar sebagai transit sebelum dadah diseludup ke Indonesia menggunakan jalan laut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, taktik sindiket terbabit terbongkar hasil risikan dijalankan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di sekitar Muar.

Menurut beliau, hasil daripada risikan tersebut satu operasi khas dijalankan antara 13 hingga 14 Mei lalu.

"Susulan daripada operasi khas tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun telah ditahan bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu. Suspek didapati positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Hasil siasatan ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 36 hingga 49 tahun. Dua daripada suspek berkenaan didapati positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis berjaya merampas 84 kilogram (kg) jenis syabu bernilai RM3.02 juta selain dua buah kereta dirampas serta menyita satu akaun bank bernilai RM36,762," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Sementara itu Ayob Khan berkata, dalam operasi berasingan pada 14 Mei lalu, polis menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, Muar.

Tambahnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada jam 7 petang itu, polis menjumpai 41.78 kg dadah disyaki syabu bernilai RM1.5 juta di dalam kereta Toyota Camry yang disyaki untuk dibawa keluar ke Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan akaun bank adalah berjumlah RM4.68 juta. Polis turut menyita satu akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.