Mancini kekal bersama Gli Azzurri

Mancini
Mancini
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Pengalaman pengendali Itali, Roberto Mancini terus ditagih apabila perkhidmatannya dilanjutkan bersama Gli Azzurri sehingga Jun 2026.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina berkata, kontrak bekas tonggak Itali itu sebelum ini sepatutnya berakhir selepas Piala Dunia 2022 Qatar.

Namun menurut Gravina, pihaknya mengambil keputusan mengekalkan Mancini setelah melakukan penilaian berdasarkan prestasi semasa gergasi Eropah tersebut.

"FIGC mahu Mancini kekal bersama skuad Itali tidak hanya dalam usaha pasukan meraih kejuaraan, tetapi juga kesinambungan projek pembentukan pasukan pada masa depan.

"Mancini dalam tempoh dua tahun ini sudah pun membuktikan keupayaan dalam meletakkan kembali Gli Azzurri di landasan sebenarnya.

"FIGC dan penaja amat teruja untuk melihat kesinambungan projek Mancini yang mampu memberikan impak lebih positif tidak hanya bagi kami tetapi juga dalam kalangan penyokong Itali," katanya.

Mancini dilantik pengendali Itali pada Mei 2018 selepas Gli Azzurri gagal layak ke pentas Piala Dunia 2018.

Pengendali berusia 56 tahun sejak itu mengemudi Itali dalam 28 perlawanan dengan melakar 19 kemenangan dan tewas dua perlawanan, kini mengesahkan slot ke saingan Euro yang berbaki tiga perlawanan selepas menang 10 aksi kempen kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mancini yang mengakui teruja dengan lanjutan kontrak baharu tersebut menyifatkan masih banyak tugasan perlu diselesaikan dalam memantapkan Gli Azzurri.

"Ya, saya gembira dan kami akan meneruskan kesinambungan projek yang telah memberikan impak positif terhadap pasukan ini.

"Kejayaan menyatukan semula jiwa dalam kalangan pemain Gli Azzurri dengan satu matlamat, sudah memberikan keyakinan kepada saya memacu pasukan ini ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

"Dalam tempoh setahun ini kami bakal berdepan Euro selain fasa seterusnya Liga Negara UEFA, dengan matlamat meraih kejuaraan biarpun bukan mudah dan pada masa sama memerlukan sedikit tuah," katanya.

Itali diundi pada saingan Euro Kumpulan A bersama Turki, Wales dan Switzerland yang dijadualkan bermula pada 11 Jun hingga 11 Julai depan.

Anak buah Mancini bakal berdepan Turki dalam aksi pembukaan di Rome.