Dua lelaki curi kenderaan diberkas dalam Op Lejang

Antara kenderaan curi yang dirampas di Sentul.
Antara kenderaan curi yang dirampas di Sentul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan dengan tertangkapnya dua lelaki dalam Op Lejang di Sentul di sini pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam.

"Susulan tangkapan tersebut, kita berjaya menemui tiga buah kenderaan yang dilaporkan hilang di kawasan Kepong iaitu kereta jenis Mazda 323, Proton Wira dan Proton Iswara yang dianggarkan bernilai RM50,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah mencuri kenderaan dan meninggalkannya di tepi jalan tanpa menukar nombor pendaftaran, sementara menunggu masa yang sesuai untuk meleraikan komponennya dan dijual di pelbagai kedai barangan lusuh yang berasingan sekitar Batu Caves.

"Kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau. Mereka direman tujuh hari bermula 10 Mei hingga Isnin. Mereka akan disambung reman bagi membantu siasatan," katanya.

Eng Lai berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian kenderaan yang dilaporka iaitu enam kes di kawasan Kuala Lumpur dan satu kes di negeri Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Artikel Berkaitan: