Suri rumah didakwa tipu projek kuih raya

Wan Roshaidayati (depan kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan menipu berhubung perniagaan projek kuih raya.
Wan Roshaidayati (depan kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan menipu berhubung perniagaan projek kuih raya.
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menipu berhubung perniagaan projek kuih raya pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Wan Roshaidayati Wan Mohd Salleh, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Roshaidayati didakwa telah menipu dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya RM2,000 kepada seorang wanita berusia 41 tahun.

Perbuatan itu telah mendorong wanita terbabit menyerahkan wang RM500 secara tunai kepadanya di sebuah restoran di Taman Seri Mahkota di sini pada jam 9.30 malam, 31 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Roshaidayati didakwa menipu seorang pemuda berusia 28 tahun bagi tujuan sama dan mendorong menyerahkan wang RM500 kepada tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di parkir stesen minyak Taman Seri Mahkota Aman, pada masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 8 Jun depan.