Pelajar tingkatan satu nyaris diculik tiga lelaki

Ahmad Adnan
A
A

TANJUNG TUALANG - Seorang pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah di sini, mendakwa nyaris diculik tiga lelaki ketika pulang ke rumahnya dalam kejadian di simpang masuk Taman Tualang, Tanjung Tualang, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 13 tahun itu berjalan kaki bersendirian selepas tamat sesi persekolahan untuk pulang ke rumahnya di Belakang Pawagam di sini, dengan melalui kawasan kejadian sekitar jam 1.30 petang.

"Setibanya di lokasi tersebut, sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu datang dari arah belakang telah berhenti secara tiba-tiba di hadapan mangsa.

"Salah seorang suspek yang duduk di bahagian penumpang belakang telah membuka pintu dan cuba menarik masuk mangsa ke dalam kenderaan," katanya.

Menurutnya, mangsa bertindak menepis tangan suspek untuk melepaskan diri dan usaha itu berjaya menyebabkan dia terus berlari pulang ke rumahnya.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kerugian dan dia ditemani bapanya berusia 50 tahun membuat laporan di Balai Polis Tanjung Tualang pada jam 2.49 petang.

"Siasatan awal mendapati tiada premis perniagaan atau rumah penduduk yang berada berhampiran," katanya.

Katanya, ketika itu juga tiada saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Jarak antara sekolah ke lokasi kejadian kira-kira 600 meter," katanya.

Ahmad Adnan berkata, tiga suspek lelaki disyaki terlibat dalam cubaan culik itu dan kes disiasat mengikut Seksten 363/511 Kanun Keseksaan.