Covid-19: Pelajar UniSZA diarah jalani ujian saringan

Universiti Sultan Zainal Abidin
Universiti Sultan Zainal Abidin
A
A
A

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengesahkan semua pelajar universiti itu diminta menjalani ujian saringan Covid-19 susulan wujudnya jangkitan wabak tersebut dalam kalangan penuntut di sana.

UniSZA dalam satu kenyataan berkata, hebahan mengenai arahan itu telah dikeluarkan kepada semua pelajar yang ada di kampus dan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Pelajar UniSZA yang berada di kampus dan dikenal pasti sebagai kontak rapat telah pun menjalani ujian calitan. Semua pelajar juga telah kuarantin di kolej kediaman masing-masing.

“Bagi pelajar yang berada di kampung halaman pula, mereka juga telah diminta untuk membuat ujian calitan (kontak rapat) dan kuarantin di rumah masing-masing,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut berapa ramai pelajar yang disahkan positif Covid-19 dan punca jangkitan.

Sinar Harian difahamkan, selain pelajar, kakitangan universiti itu juga diminta menjalani ujian calitan.

Terdahulu, tular di media sosial satu surat makluman dikeluarkan UniSZA yang mengatakan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus telah mengesan kewujudan kluster melibatkan pelajar UniSZA yang berada dalam kampus.

Susulan pengesanan itu, UniSZA diarahkan supaya memaklumkan kepada semua pelajar yang tinggal di kampus dan pulang ke kampung agar menjalani ujian saringan di klinik kesihatan berhampiran.

Artikel Berkaitan: