ADUN DAP digesa mohon maaf

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim digesa memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakannya memberi komen negatif terhadap perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, tindakan ADUN Bandar Baru Klang itu mengkritik Perdana Menteri berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin adalah satu perbuatan biadab dan tidak patriotik.

"Kritikan kurang ajar Teng Chang Khim yang juga seorang Exco kerajaan Selangor tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang Exco, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.

"Beliau patut malu dengan diri sendiri dan malu kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya!

"Justeru, saya mendesak Chang Khim memohon maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kenyataan biadab beliau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Razali yang juga Ahli Dewan Negara mempersoalkan tindakan Chang Khim seolah olah seperti ejen provokasi kerajaan Israel yang cuba memanipulasikan keadaan semasa termasuk mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Adakah tindakan pemimpin DAP dan parti DAP mempunyai kaitan langsung dengan arahan negara haram Israel bagi menganggu-gugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara seperti Malaysia yang menyokong kuat kepada perjuangan serta kemanusiaan rakyat Palestin?

"Saya pohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat tindak-tanduk pemimpin DAP yang mungkin menjadi boneka kepada negara haram Israel.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengulangi pendirian tegas bagi parti Bersatu supaya jangan ada pihak-pihak tertentu yang mencuba menganggu-gugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak ada kena-mengena langsung dengan pandemik Covid-19 kerana ia adalah dua isu yang sangat berbeza.

"Isu yang berlaku di bumi Palestin bukannya diminta tetapi akibat kerakusan dan kekejaman Israel yang dirancang dan berulang-ulang.

"Maka tidak berasas langsung andainya dakwaan bahawa Perdana Menteri cuba mengalih persepsi rakyat Malaysia dalam permasalahan dalaman negara seperti pandemik Covid-19.

"Kerajaan PN sentiasa fokus dalam apa jua bentuk demi kesejahteraan rakyat dan prihatin dengan permasalahan sejagat," katanya.