12 pekerja syarikat pembinaan dikompaun langgar SOP

Seramai 12 pekerja syarikat pembinaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
Seramai 12 pekerja syarikat pembinaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook)
A
A
A

JEMPOL - Seramai 12 pekerja di sebuah syarikat pembinaan dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM1,500 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua individu berkenaan merupakan pekerja asing dari Bangladesh dan India berusia dalam lingkungan 25 hingga 47 tahun menaiki sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun.

"Polis menahan lori berkenaan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 12 Jalan Rompin-Pasir Besar pada jam 5.30 petang Isnin sebelum membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan.

"Terdapat 12 pekerja duduk di belakang lori manakala seorang lagi duduk di sebelah pemandu sebelum siasatan lanjut mendapati seorang daripada pekerja berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya, pekerja berkenaan dibawa menggunakan lori bagi menjalankan kerja pemasangan menara elektrik di Kok Foh, Rompin.

"Kompaun dikeluarkan ke atas 12 pekerja terbabit berikutan tiada penjarakkan sosial manakala kesemua pekerja didapati memakai pelitup muka ketika pemeriksaan dijalankan.

"Selain itu majikannya juga akan dipanggil bagi membantu siasatan dan boleh dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan kenderaan yang sesuai bagi penjarakkan sosial pekerja semasa di dalam kenderaan di bawah Kesalahan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2020," katanya.

Tambahnya, polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan: