Mangsa banjir di Melaka meningkat, lebih 500 orang dipindahkan

Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sekitar Bukit Rambai dilanda banjir pada Isnin. - Foto Bernama
Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sekitar Bukit Rambai dilanda banjir pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Mangsa banjir di Melaka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 8 pagi ini meningkat kepada 554 orang daripada 128 keluarga, berbanding 321 orang pada Isnin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, secara keseluruhan tujuh PPS dibuka di tiga daerah berbanding hanya empat pada Isnin dengan dua lagi PPS dibuka di Melaka Tengah, bagi menempatkan mangsa terjejas akibat banjir kilat, malam tadi.

“PPS di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek dibuka tengah malam tadi, selepas berlaku kenaikan air di Rumah Awam Ayer Molek di sini menyebabkan 139 mangsa daripada 37 keluarga, dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Satu lagi PPS iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim masih dalam proses pendaftaran mangsa banjir.

Seramai 185 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, 64 mangsa daripada 17 keluarga pula di PPS Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Tanjung Minyak, manakala 45 mangsa daripada 22 keluarga berada di PPS di SMK Bukit Rambai.

Dalam pada itu, sebuah PPS di daerah Jasin dibuka iaitu di SJKC Shuh Yen, selepas 66 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan pada 12 tengah malam tadi.

“Di Alor Gajah, mangsa yang ditempatkan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal kekal dengan 55 orang daripada 13 keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan: